Total Pageviews

Saturday, March 19, 2011

Surabaya-Bromo Trip

Perjalanan kami pada hari ketiga di Surabaya agak panjang kerana kami akan menuju ke Taman Negara Bromo Tengger Semeru. Perjalanan bermula pukul 2.00 pagi waktu Indonesia iaitu lewat sejam dari waktu Malaysia. Mas Adi sudah berpesan supaya kunci jam dan bangun pukul 1.30 pagi untuk menempuh perjalanan selama 3 jam sebelum matahari terbit di puncak gunung Penanjakan.

Oleh sebab malam masih awal, maka aku dan suami pun menempah tukang urut hotel yang datang ke bilik untuk mengurut kami berdua dengan bayaran Rp250,000 bagi tempoh sejam. Memang terasalah tukang urut ni mengurut....hilang segala kepenatan berjalan siang tadi. Sebelum mata terpejam, siapkan dulu barang-barang untuk perjalanan esok.

Aku dikejutkan dengan bunyi deringan telefon dan pihak hotel bertindak sebagai alarm agar kami bangun tepat jam 1.30 pagi. Aku angkat dan letakkan semula gagang dan sambung semula tidur kerana mataku tidak boleh dibuka. Aku terjaga semula apabila pintu bilik diketuk bertalu-talu..rupanya Mas Adi di depan pintu..ya Allah! aku ketiduran...orang lain semua dah tunggu dalam bas...nasib baik barang dah dikemas dalam beg. Sambil mulut membebel aku kejutkan suami dan anak-anak...sempat gosok gigi dan basuh mana-mana yang patut aje...Baru aku terperasan, gagang telefon aku letak atas meja, bukannya di tempat yang sepatutnya. Dah siap semua, kami terkocoh-kocoh menuju ke bas. Semua dah menunggu. Nasiblah semua sporting...

Jarak yang agak jauh ditambah pula dengan keadaan di luar yang gelap, kami semua melayan mata yang mengantuk. Setelah hampir 3 jam di dalam bas, pergerakan bas mula perlahan kerana mendaki kawasan yang lebih tinggi. Ketibaan kami di kaki Gunung Penanjakan disambut hembusan angin yang begitu sejuk. Di sini ada disediakan tempat sewaan baju tebal kerana menurut yang menyewakan baju tu, suhu di puncak gunung sangat sejuk. Aku dah standby baju tebal untuk diri sendiri dan family. Ada juga ahli rombongan yang memakai baju nipis..agaknya boleh tahan sejuk...tapi bagi aku di kaki gunung dah sejuk, apatah lagi di atas nanti...

yang tak bawa baju tebal boleh sewa di sini

Jip disediakan untuk kami menuju ke puncak gunung. Satu jip boleh muat 5 hingga 7 penumpang. Perjalanan menuju puncak mengambil masa lebih kurang 15 minit. Jalan yang berliku-liku membuatkan kepala rasa berpusing. Tengok keluar tingkap, pandangan masih lagi samar-samar. Tiba sahaja di Gunung Penanjakan, hari sudah mulai cerah. Kami perlu menapak untuk pergi ke view point melihat matahari terbit. Ketika ini sudah terasa cuaca sejuk yang amat. Ketika inilah kami mendengar bunyi seperti ngauman atau gegaran....terasa tanah yang dipijak bergegar. Inilah pengalaman pertama merasa sendiri gegaran gunung berapi yang memuntahkan debu dan asap hitamnya. Ketika ini Gunung Bromo begitu aktif mengeluarkan asap dan debu ke udara yang membuatkan kami rasa berdebar. Dalam hati rasa takut juga..tapi inilah dinamakan pengalaman. Setibanya di view point, orang sudah ramai menanti kemunculan matahari terbit...tetapi disebabkan kabus yang amat tebal dan hujan turun rintik-rintik, nampak gayanya matahari malu nak menunjukkan diri.


dalam jip on the way memanjat gunung


view point Gunung Penanjakan





kabus tebal tak nampak apa....sikit aje nampak Gunung Semeru


matahari yang teramat sekejap terbitnya...




Tujuan aku datang ke Surabaya ini sebenarnya adalah untuk melihat Gunung Bromo. Sebagai seorang cikgu Geografi, ini merupakan peluang yang tidak dapat dilepaskan untuk melihat dengan lebih dekat salah satu gunung berapi yang masih aktif. Namun hajat untuk mendaki tangga dan melihat kawah Gunung Bromo tidak kesampaian kerana ketika ini, lawatan ke kawah gunung ditutup kerana kerana letusan kecil Gunung Bromo. Sudahlah begitu, untuk melihat bentuk gunungnya tidak kesampaian kerana kabus tidak mahu menghilang langsung. Memang terasa kecewa, namun apakan daya masa untuk berada di sini amat singkat. Dengan perasaan kecewa, kepulan asap hitam letusan Bromo ditinggalkan untuk menuju ke bawah semula. Suatu hari nanti pasti aku akan datang semula ke sini untuk memenuhi hajat yang tak kesampaian untuk melihat gunung Bromo dengan lebih dekat.

Sebelum menaiki jip, sempat layan shopping t-shirt dan fridge magnet Gunung Bromo. Anak-anak pula mengisi perut dengan mi segera Pop Mie. Menaiki semula jip, pak supir yang tak sempat nak tanya namanya itu bercerita tentang Gunung Bromo yang katanya marah ketika gunung itu meletup pada tahun 2010. Marah sebab apa dia tak cakap pulak. Menurut pak supir ni, Gunung Bromo dianggap oleh orang suku Tengger sebagai gunung suci. Pak supir ini sendiri suku Tengger beragama Hindu. Patutlah mukanya lain sikit. Menuruni Gunung Penanjakan, kabus sudah mula menipis. Di kiri kanan jalan yang sempit dan berliku, terdapat banyak kebun sayur seperti kobis, jagung, dan lobak. Kebanyakan suku Tengger ini bekerja sebagai petani. Tiba di bawah, sarapan sudah ditapau oleh pihak hotel. Menunya roti dua bungkus, telur ayam kampung rebus sebiji dan air kotak.

pokok di belakang tu mati kena debu panas gunung berapi


sempat shopping di sini...tapi mahal


mencairkan semula tangan yang beku


dalam jip untuk turun semula ke bawah

Setelah perut diisi, perjalanan diteruskan menuju ke Sidoarjo untuk makan tengahari. Jarak yang jauh melelapkan mata kami. Setibanya kami di kedai makan Lesehan Joyo, makanan sudah terhidang. Menu tengahari ini begitu menyelerakan. Antaranya tauhu telur, sup buntut, ikan masam manis, ikan bakar, ayam goreng dan lain-lain lagi. Di sini juga kami solat jamak di musholla yang disediakan.Yang tak bestnya, lelaki perempuan campur sekali. Setelah kenyang dan selesai semuanya, destinasi seterusnya ialah ke Tanggulangin untuk shopping barangan kulit.


tempat makan tengahari yang eksklusif






Kawasan Tanggulangin ini seperti di Nilai 3, cuma di sini kebanyakan barangannya dibuat daripada kulit. Kami dibawa ke Toko Permata untuk shopping beg kulit. Kami yang perempuan ni rambang mata melihat pelbagai jenama antarabangsa ada dijual di sini. Harganya ada yang mahal dan ada yang murah.. ada yang ori ada yang tiruan. Beg clutch untuk dinner dijual dengan harga RM5 sahaja. Pelbagai bentuk dan warna ada. Kalau datang ke Surabaya, masukkan tempat ni sebagai salah satu destinasi yang wajib dilawati.


pilih mana yang rasa berkenan


antara beg yang dijual


makan aiskrim sambil menunggu kawan2 yang lain shopping


pekena pop mie dan air kelapa muda

Setelah puashati mendapat apa yang diinginkan, aktiviti membeli-belah bersambung lagi di kota Surabaya iaitu di Darmo Factory Outlet. Tidak ramai orang di sini, hanya rombongan kami sahaja. T-shirt dan jeans dijual dengan harga yang murah.Terdapat pelbagai design yang cantik dan buatannya cukup berkualiti. Ada yang berhabis jutaan rupiah di sini memborong baju dan seluar.

Darmo Factory Outlet


gaya macam samseng...

Jadual hari ini yang dipenuhi dengan aktiviti membeli-belah dan menempuh perjalanan yang panjang diakhiri dengan makan malam di Tiyasa Resto. Hidangan kami pada malam ini agak istimewa kerana dihidangkan secara buffet dan makan sambil bersantai. Namun, disebabkan kelaparan, makanan tidak mencukupi kerana menunya yang istimewa seperti sup sirip ikan, nasi goreng, daging lada hitam, dan mi goreng stail Indo begitu menepati selera. Setelah kenyang, masing-masing dengan muka yang keletihan....... kami menuju ke hotel untuk berehat sebelum meneruskan aktiviti keesokan harinya.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment