Total Pageviews

Friday, December 30, 2011

SINGGAH SEBENTAR DI KAMPUNG KANDAL, PHNOM PENH CAMBODIA

Tujuan utama bercuti ke Cambodia atau Kemboja adalah untuk melihat kehebatan Angkor Wat yang terletak di Siem Reap. Namun, menyedari akan kesusahan hidup rakyatnya terutama yang beragama Islam, kami telah mengadakan satu lawatan tidak rasmi ke sekolah yang terdapat di negara itu. Sambil menyelam minum air. Itulah ungkapan yang paling sesuai untk lawatan kami selama 5 hari bermula 26 hingga 30 Oktober 2011. Di samping melawat ke tempat-tempat yang menarik di sana, kami juga berpeluang untuk melihat sendiri kehidupan masyarakatnya.

Kami dibawa melawat ke sekolah agama yang terdapat di Kampung Kandal, satu jam perjalanan dari ibu negara Cambodia, Phnom Penh. Kami singgah di kampung ini dalam perjalanan menuju ke Siem Reap. Sekolah ini menempatkan kanak-kanak tadika sehinggalah pelajar dewasa. Sekolah yang terletak di tebing Sungai Mekong ini amat daif. Kelihatan dari luar seperti pondok buruk atau bangunan lama yang ditinggalkan. Ditambah pula dengan debu tanah merah melekat pada dinding kelas. Ketibaan kami di sekolah itu di sambut oleh imam dan penduduk kampung serta guru-guru sekolah itu. Di sini juga terdapat sebuah masjid dan masyarakat Islam bebas mengamalkan ajaran Islam walaupun majoriti penduduknya beragama Buddha.


Rombongan CikMah meninjau ke dalam kelas yang daif

Wajah anak-anak Muslim Cambodia

Tiada uniform untuk dipakai...


Sesi pengajaran dan pembelajaran di kelas pelajar yang lebih dewasa...


Kami berpeluang untuk melihat sendiri suasana di dalam bilik darjah yang menempatkan sehingga 50 orang pelajar di dalam satu kelas. Kehadiran kami disambut dengan wajah-wajah lesu, mungkin belum makan lagi ketika itu. Namun, terpancar riak kegembiraan apabila kami menghulurkan sumbangan alat-alat tulis kepada mereka. Pelajar-pelajar ini ditempatkan di dalam satu kelas mengikut umur masing-masing. Ada yang memakai uniform dan ada yang memakai pakaian biasa. Wajah-wajah kanak-kanak yang belajar digred rendah kelihatan comot dan tidak terurus manakala yang lebih dewasa kelihatan kemas. Pelajar-pelajar perempuannya memakai tudung manakala pelajar lelaki memakai kopiah. Guru-guru di sekolah ini ada yang fasih berbahasa Melayu kerana pernah tinggal dan bekerja di Malaysia. Namun, sesi pembelajaran menggunakan bahasa dan tulisan Khmer selain tulisan Jawi. Mereka juga belajar matematik dan sains selain mata pelajaran agama. Walaupun kelasnya dipenuhi pelajar, namun tidak kelihatan satu sampah pun di atas lantai.

Bangunan sekolah yang menempatkan kelas pelajar dewasa


Selepas itu, kami menuju pula ke arah satu pondok yang berlubang-lubang dan menunggu masa untuk roboh. Di sinilah di tempatkan kanak-kanak kelas tadika. Mereka belajar dalam suasana yang serba kekurangan. Cuma ada papan putih sahaja di hadapan kelas tanpa kemudahan komputer atau sebagainya. Tiada juga hiasan-hiasan yang sepatutnya untuk menceriakan suasana kelas. Ada yang datang ke sekolah cuma berkaki ayam dan menjadikan beg plastik barangan sebagai beg sekolah. Betapa bertuahnya kita di Malaysia dengan segala nikmat dan kemudahan yang ada namun tidak dihargai sepenuhnya oleh sebilangan pelajar.


Ini bukan sekolah tapi layak dipanggil pondok untuk kanak-kanak berumur 4- 5 tahun belajar,,


Mendengar sahaja apa yang diajar guru...tiada buku atau pensil untuk menulis


Kelas yang menempatkan kanak-kanak yang memakai uniform



Wajah-wajah comel yang tetap ingin menimba ilmu walaupun serba kekurangan




Selain melawat sekolah, tujuan kami juga adalah untuk menyampaikan derma atau sumbangan daripada rakan-rakan yang lain. Ada yang bersedekah dan ada yang membayar fidyah. Sebelum meninggalkan sekolah tersebut, kami mengagih-agihkan coklat yang dibawa dari Malaysia. Kami diserbu oleh kanak-kanak tersebut dan mereka berebut-rebut untuk mendapatkan coklat sehingga ada yang hancur direbut mereka. Mungkin mereka dapat merasa coklat tersebut apabila ada orang yang datang menghulurkannya sedangkan di negara kita makanan tersebut dibuang-buang sahaja. Keadaan ini betul-betul menginsafkan dan betapa bertuahnya kita tinggal di bumi Malaysia.



Mula-mula berbaris...lepas tu semua berebut-rebut...


Masjid Al-Rahmani Kampung Kandal


Rombongan CikMah bersama-sama dengan penduduk kampung

Setelah menghabiskan masa selama sejam di Kasmpung Kandal, kami meneruskan perjalanan ke Siem Reap yang mengambil masa lima jam perjalanan. Di dalam bas, kami bercerita tentang kedaifan sekolah tersebut dan jika diberi peluang lagi untuk datang ke Cambodia, pasti kedatangan kami nanti akan diiringi dengan lebih banyak sumbangan yang hendak didermakan.

Anda bagaimana?


No comments:

Post a Comment