Total Pageviews

Friday, March 18, 2011

Surabaya-City Tour

Hari kedua di Surabaya dimulakan dengan sarapan pagi di kafe hotel.Menunya nasi goreng,mi goreng, bandeng presto,omelet dan lain-lain lagi yang biasa kita makan kat hotel...Masa sarapan ni berjumpa dengan group kedua yang tiba pada pukul 1.30 pagi.

Perjalanan kami pagi ini menuju ke Pulau Madura melalui jambatan Suramadu iaitu jambatan yang menghubungkan Pulau Jawa dengan pulau Madura sepanjang 5km .Pada saya tak ada apa yang istimewa di sini kecuali menurut Mas Adi, pulau yang terdiri dari 4 kabupaten iaitu Bangkelan, Sampang,Pamekasan dan Sumenep ini terkenal dengan perlumbaan sapi.


Gerbang tol menuju ke Pulau Madura


Laluan motosikal di sepanjang jambatan


Berposing di hadapan deretan gerai-gerai cenderamata

Tiba sahaja di tanah Madura,di kiri kanan jalan terdapat gerai-gerai menjual cenderamata sepert baju-t, pemegang kunci, kopiah dan lain-lain yang saya rasa langsung tak menarik minat untuk membelinya. Setelah masing-masing puas berposing di pulau Madura, kami bertolak semula ke Surabaya menuju ke Masjid Agung Sunan Ampel.

Masjid Agung Sunan Ampel terletak di Jalan KH Mas Mansyur Surabaya Utara. Masjid ini dibina oleh Raden Achmed atau Sunan Ampel dan pengikutnya pada tahun 1421 masehi. Beliau meninggal dunia pada tahun 1481 dan dimakamkan di sebelah kanan depan kawasan masjid ini.

Orang memang ramai pada hari ini sebab hari minggu, hari liburan bagi penduduk di sana. Manusia berduyun-duyun menuju ke masjid ini. Kami berjalan melalui lorong-lorong kecil di kiri kanannya terdapat rumah dan gerai-gerai untuk menuju Masjid Agung dan makam Sunan Ampel, iaitu orang yang bertanggungjawab menyebarkan agama Islam di Surabaya. Di sepanjang jalan ini juga terdapat banyak orang berjualan terutamanya menjual makanan. Kalau tengok cara masakannya, boleh kembang tekak ...Peminta sedekah juga sedia menanti orang yang lalu-lalang.Kalau tengokkan keadaan, semuanya sihat tapi entahlah...Mas Adi dah pesan..jangan bagi nanti yang lain akan datang menyerbu dan mengekori kita sampailah kita bagi duit.


Salah satu lorong menuju masjid


Memasak dan menjual makanan di sepanjang lorong


Antara peminta sedekah yang mengharap sedikit wang daripada orang ramai
yang lalu-lalang


Pelawat kat sini siap datang dengan rombongan semata-mata untuk melawat makam Sunan Ampel dan membacakan surah yassin dan Al-Quran. Ada yang datang dengan membawa hajat masing-masing. Menurut Mas Adi, makam Sunan Ampel betul-betul menghadap ke arah Kaabah. Sesiapa yang berhajat untuk bersedekah diletakkan juga kotak amal.


Pintu masuk dan keluar ke makam Sunan Ampel




Kami menuju semula ke bas yang sedia menanti melalui lorong-lorong tadi. Pada masa inilah suamiku diekori oleh seorang kanak-kanak peminta sedekah...ditarik-tariknya tangan suamiku...nasiblah suamiku penyabar orangnya dan akhirnya kanak-kanak tu berlalu pergi begitu sahaja setelah penat rengekannya tak dilayan. Sepanjang perjalanan menuju ke bas, hidungku ditusuk-tusuk dengan bau wap bakso atau bebola daging sapi dari sebesar ibu jari hingga ke besar penumbuk pun ada..

Destinasi seterusnya kami tak minat pun nak pergi sebab tempat ini adalah kilang membuat rokok Sampoerna House.....nanti menggalakkan budak-budak menghisap rokok pula...tapi dah ada dalam jadual ikut ajelah . Malas nak cerita panjang kat sini...tengok ajelah antara gambar yang sempat di
shoot.


mesin kopi


mesin pencetak


koleksi alat muzik


Gambar ramai-ramai di hadapan Sampoerna House

Penat berjalan, perut mula berbunyi minta diisi. Menu kami tengahari ini nasi padang di Restoran Muara. Pelbagai jenis lauk dihidangkan dalam piring-piring kecil. Semua menikmati hidangan dengan penuh berselera sambil melayan berita televisyen yang menyiarkan gambar Jepun dilanda tsunami. Alamak....sedang sedap mengunyah sambal hati ayam dengan petai, ternampak pulaklah seekor ulat dalam piring sambal petai tu.... terus tertutup selera.




Menu tengahari

Perut dah kenyang, sembahyang pun sudah....kami yang perempuan ni teruja yang amat kerana destinasi seterusnya adalah tempat shopping! Plaza Jembatan Merah...here we come. Keadaan tempat ini lebih kurang seperti Mangga Dua di Jakarta tetapi lebih kecil. Pelbagai barangan ditawarkan di sini terutamanya kain ela. Baju kanak-kanak pun murah-murah. Tambahan pula, jualan murah sedang diadakan. Apa lagi, sediakan rupiahnya aje....
Tiba di bas, kami dikejutkan dengan berita kehilangan beg duit salah seorang ahli rombongan. Nasib baiklah pasportnya tidak hilang sekali, kalau tidak panjang pulak ceritanya. Mood untuknya bershopping terus hilang sebab di dalamnya terkandung kad pengenalan, kad kredit dan wang tunai. Ini menjadi peringatan kepada kami semua agar berhati-hati dengan barang-barang berharga bila berada di negara orang.



Layan dulu keinginan anak-anak..


Pintu masuk Plaza Jembatan Merah

Kepenatan kaki setelah menjelajah seluruh tingkat Plaza Jembatan Merah tidak menghalang kami untuk terus menuju ke mercutanda terkenal seterusnya di kota ini iaitu Monumen Kapal Selam atau Monkasel. Monumen ini dibangunkan di tepi Sungai Kalimas sebagai warisan nilai sejarah yang mencerminkan Indonesia sebagai negara maritim.Kapal selam buatan Russia ini mula dibina pada tahun 1952 dan dibangunkan pada tahun 1995.Tak pastilah pulak macamana kapal selam ni boleh berada di sini sama ada dihadiahkan atau dibeli...dan mula dibuka kepada umum pada 15 Julai 1998. Kanak-kanak yang mengikuti rombongan ini begitu teruja apabila dapat melihat kapal selam sebenarnya dan dapat memegang serta melalui pengalaman berada di dalam badan kapal selam.

The boys @ Monkasel



Bahagian dalam kapal selam


Tempat tidur anak kapal


Lubang yang menghubungkan antara ruangan dalam kapal




Berdekatan dengan Monkasel juga terdapat satu lagi mercutanda terkenal di kota ini iaitu patung ikan yu dan buaya yang sedang bertarung. Nama kota Surabaya muncul daripada mitos pertempuran ikan suro atau yu (sura) dan boyo (baya atau buaya), lambang perjuangan antara darat dan laut. Versi lain pula, Surabaya berasal daripada kata sura ing bhaya yang bererti keberanian menghadapi bahaya.

Hujan gerimis yang turun petang ini mengakhiri perjalanan kami yang bermula pukul 8.00 pagi tadi. Sebelum pulang ke hotel merehatkan badan, perut perlu diisi dahulu. Menu kami pada malam ini masakan Sunda di Ayam Bakar Primarasa. Masakannya boleh tahan sedap...perut lapar badan penat mata mengantuk...makan aje apa yang dihidangkan. Burrppp..kenyang.



sayur kangkung, ikan masam manis, ayam bakar,sup



**cerita seterusnya di entry yang lain**

No comments:

Post a Comment