Total Pageviews

Saturday, March 19, 2011

SURABAYA -Taman Safari II




Untuk entry yang ini saya akan menceritakan tentang Taman Safari sahaja. Mengapa? Pada saya tempat ini amat istimewa kerana persekitarannya seperti membawa kita semua ke dunia yang lain. Lanskapnya yang dikelilingi pohon-pohon berbatang tinggi, lantai hutannya yang ditumbuhi paku-pakis dan pokok-pokok renek begitu mendamaikan. Kita tidak perlu pergi ke negara empat musim untuk melalui pengalaman berbeza kerana di sini juga kita seperti berada di negara beriklim seperti itu.

Selepas menikmati makan tengah hari di Restoran Bamboe, kami bertolak pula ke Taman Safari II yang terletak di kaki gunung Arjuna. Mengapa ada nombor dua di belakangnya, kerana ini merupakan taman safari yang kedua selepas taman safari di Bogor. Taman ini merupakan salah satu tempat wajib dilawati jika ke Surabaya sebab konsep taman seperti ini tiada di negara kita. Bilalah agaknya negara kita ada taman macam ini...kita boleh pandu kereta masuk ke dalam taman dan binatang dilepaskan dengan bebas...

Oleh sebab tempat ini merupakan optional dan tidak termasuk dalam pakej, maka setiap seorang daripada kami terpaksa membayar tiket masuk sebanyak Rp90,000 untuk tourist.Tidak kiralah sama ada kanak-kanak atau warga emas, harga tetap sama...baby sahaja free...
Ketibaan kami di pintu masuk taman ini disambut dengan bunyi ngauman harimau dan unggas-unggas hutan yang lain. Setiap daripada kami tidak sabar-sabar untuk melihat binatang-binatang yang ada di taman ini dan masing-masing bersiap sedia dengan kamera sendiri.Taman Safari seluas 340 hektar ini terbahagi kepada 4 zon iaitu Taman Haiwan, Rekreasi, Baby Zoo dan Water World. Mengikut peta yang dibekalkan, Taman Haiwan ini terbahagi 4 kawasan mengikut jenis-jenis haiwan yang tinggal di 4 benua iaitu Amerika, Eropah, Asia dan Afrika.


bahagian pintu masuk Taman Safari



Sepanjang jalan menuju ke dalam tempat tinggal binatang ini, di kiri kanan dikelilingi pokok-pokok besar berdaun lebat menyebabkan suasana menjadi gelap dan berkabus. Namun, tiba sahaja dipintu masuk berpagar besi automatik, suasana mulai cerah dan keadaan di dalam bas menjadi gamat kerana masing-masing tidak sabar untuk melihat binatang yang ada di sini. Masuk sahaja ke kawasan Amerika ini, haiwan yang tidak pernah kita lihat di negara sendiri ada di sini seperti llama, serigala dan bison. Binatang ini dipagar di sekelilingnya dengan dawai elektrik. Kawasan-kawasan binatang-binatang ini dipisahkan oleh pagar besi automatik untuk memudahkan kenderaan masuk. Pelawat dilarang menurunkan cermin kenderaan bimbang binatang buas akan bertindak ganas. Perjalanan diteruskan untuk melihat binatang-binatang di sini yang dilepaskan bebas mengikut habitat hidup masing-masing.


llama












Lawatan kami di taman ini diakhiri dengan persembahan Java Jones and the Temple of Terror pada pukul 4.30 petang...seperti persembahan di Movieworld Universal Studio Singapore juga. Semasa persembahan tidak boleh merakam foto atau rakaman video dan lagi satu jangan pilih tempat duduk bahagian hadapan. Pilih di atas sikit tak apa...Mengapa?Baca dulu sampai habis....Persembahan dimulakan dengan kehidupan Red Indian di kampung mereka dan didatangi oleh seorang asing yang berniat jahat yang akhirnya berjaya menakluk kampung tersebut dan menjadi ketua mereka. Scene yang lain mengisahkan kedatangan hero, heroin dan watak pembantu ke kampung tersebut. Kedatangan mereka tidak disenangi penjahat tadi dan berlakulah pergaduhan. Ketika inilah si penjahat membaling bahan letupan ke dalam perigi menyebabkan percikan air keluar dengan banyaknya terkena tempat duduk di bahagian hadapan. Beberapa orang penonton yang duduk di situ kebasahan.

Persembahan yang memakan masa 30 minit ini ditamatkan dengan sesi bergambar dengan pelakon-pelakon yang terlibat dan semuanya gratis(percuma).


tempat makan di dalam Taman Safari








Harimau Putih di dalam kaca


nampak tak kerusi basah tu....kalau datang ke sini jangan duduk di situ



berposing bersama dengan pelakon2 Temple of Terror


Bagi saya dan rakan-rakan yang lain, lawatan ini memang tidak puas kerana masa yang begitu suntuk. Seelok-eloknya berada seharian di sini barulah kita boleh meneroka semua kemudahan yang ada di taman ini. Banyak lagi tempat yang yang kami tidak sempat lawati seperti Water World, pertunjukan binatang, bergambar dengan binatang jinak dan lain-lain lagi. Anak-anak saya pun terkilan kerana tidak dapat melihat pertunjukan singa laut dan memegang binatang jinak. Yang pasti, kami akan datang lagi ke sini kerana taman ini betul-betul mengujakan!

**Next entry, koleksi gambar binatang di Taman Safari. ENJOY!**

No comments:

Post a Comment